1.      Kewajiban belajar mengajar
QS. Al-alaq ayat 1-5
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ * خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ * اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ * الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ * عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ
Terjemahan:
[1] Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan.
[2] Dia menciptakan manusia dari segumpal darah beku; 
[3] Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; 
[4] Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; 
[5] Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. 
(1)   Permulaan surah ini, mulai ayat 1 hingga ayat 5 merupakan wahyu pertama diturunkan.  Wahyu ini diturunkan ketika Nabi saw sedang menjernihkan jiwanya dengan ibadat, lalu Jibril menyuruhnya supaya membaca. Perintah Jibril ini merupakan bimbingan pertama sebelum memulakan langkah-langkah seterusnya dalam perjalanan da`wah yang baginda pilih.
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ *
Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan.
            Sayyid Qutb tatkala mengulas ayat ini menyatakan: Bahagian pertama surah ini meletakkan batu asas dalam konteks keimanan yang luas yaitu setiap urusan, gerak gerik, langkah dan tindakan hendaklah dimulakan dengan menyebut nama Allah kerana Dialah yang mencipta dan Dialah juga yang mengajar. Dari Allah berasalnya semua kejadian dan kepada-Nya dikembalikan semula ciptaan-Nya.
 Kalimah “إقْرَأ” ialah fi`l, maf`ulnya ditiadakan kerana dipercayai pembaca yang pintar dapat menzahirkannya. Justeru para ilmuwan tidak membiarkan peluang ini tanpa ikut serta dalam perkongsian pendapat bagi menzahirkan maf`ul yang ditiadakan itu, lalu sebahagian mereka berpendapat kalimah yang ditiadakan itu ialah al-Qur`an. Oleh itu ungkapan selengkapnya:
إقْرَأْ الْقُرْآنَ بِاسْمِ رَبِّكَ
 “Bacalah al-Qur`an dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan”.
Sebahagian ulama menjadikan ayat ini sebagai dalil menunjukkan basmalah satu juzuk daripada setiap surah al-Qur`an, manakala “ بأ ” pula membawa makna mulabasah (penyertaan). Sebahagian yang lain berpendapat “ بأ ” di sini za`idah, artinya tidak membawa apa-apa makna. Pendapat kedua ini tidak sesuai kerana membawa erti yang sama dengan ungkapan:
اذْكُرْ اسْمَ رَبِّكَ 
 “Sebutlah nama Tuhanmu”
Ayat pertama ini membuat penekanan terhadap pembacaan hendaklah menjurus kepada menyebut nama Rabb, bukan nama Allah. Kita sedia maklum, Rabb membawa erti mendidik, memelihara dan mentadbir. Justeru, bagi memantapkan rububiyyah Allah, berikutnya disusuli dengan kenyataan الَّذِي خَلَقَ ertinya Tuhan yang mencipta. Tuhan Yang Mencipta dengan sendirinya mentadbir ciptaan-Nya. Ini kerana dalil yang menunjukkan rububiyyah Allah ialah sifat khaliqiyyah-Nya (Pencipta) atau dengan kata lain, Allah Yang mentadbirkan alam ini, dengan sendirinya Penciptanya.
Hubungan di antara Pentadbir dan Pencipta, boleh difahami dengan lebih jelas lagi, apabila Musyrikin Arab mengakui Allah sebagai Pencipta langit dan bumi, tetapi pada masa yang sama mereka menyerahkan rububiyah atau pentadbiran langit dan bumi kepada berhala yang mereka puja. Andainya mereka mengakui langit, bumi dan seluruh alam ini ditadbir oleh Allah, maka pengakuan itu merupakan sebaik-baik bukti yang menunjukkan pengakuan mereka adalah benar.
Bacaan yang diperintah Malaikat Jibril supaya Nabi membacanya bukan sebarang bacaan, tetapi bacalah dengan menyebut nama Allah. Di sini, bermulalah dengan rasminya penurunan al-Qur`an kepada Nabi Muhammad saw dan pelantikannya sebagai Rasul.
Wahyu pertama yang menyuruh agar Nabi membacanya, menunjukkan pembinaan manusia yang diwahyukan kepada Nabi saw adalah berasaskan ilmu pengetahuan melalui jalan pembacaan. Tidak dinafikan fenomena menulis dan membaca wujud sejak beratus tahun sebelum kelahiran Islam lagi, tetapi perkembangan ilmu pengetahuan hanya lancer sejurus selepas kebangkitan Islam. 
 Wahyu “Iqra`” merupakan amanah pertama dalam perutusan Allah kepada Nabi Muhammad saw untuk disampaikan kepada umat manusia yang rata-rata pada ketika itu tenggelam di dalam lumpur syirik, kejahilan dan khurafat. Amanah ini merupakan tonggak kepada tamadun Islam yang bakal ditegakkan di muka bumi ini melalui syariat Islam pimpinan Nabi Muhammad saw yang berasaskan ilmu yang diisyaratkan dengan perintah membaca dan menulis.
            Wahyu ini dengan jelas menjadikan ilmu sebagai asas yang disimbolkan dengan membaca dan menulis dengan pena, tetapi kepada siapa ia dikhitabkan?. Umum Mufassirin menjawab, ia dikhitabkan kepada Nabi saw ketika baginda sedang beribadat di dalam gua Hira`, mereka mengaitkan hubungan munasabah di antara ayat pertama itu dengan hadith Jibril yang menyuruh beberapa kali supaya Nabi membaca, sambil memeluknya dengan kuat hinggalah dia menghilangkan dirinya dari pandangan Nabi saw.
            Tidak ramai Mufassirin mengulas ayat ini sebagai salah satu daripada ayat hukum, meskipun perintah membaca itu jelas menunjukkan wajib membaca bagi menyempurnakan tuntutan agama seperti juga dengan perintah-perintah menegakkan kebenaran, keadilan, menyempurnakan janji dan lain-lain. Kewajipan ini bukan sahaja ditujukan kepada Nabi saw, malah meliputi seluruh umatnya. Ini kerana tiada dalil menunjukkan perintah ini khusus kepada Nabi saw sedangkan umatnya dikecualikan.
Ayat 1 hingga 5 al-`Alaq menggariskan dua panduan bagi memenuhi tuntutan kewajipan membaca:
Pertama: Hendaklah pembacaan itu disempurnakan dengan nama Allah. Pembaca tidak harus membaca bahan-bahan yang dilarang Allah seperti bahan-bahan lucah, berita-berita yang membawa fitnah dan sebagainya kerana bahan-bahan ini menjauhkan manusia dari Allah, firman Allah:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ
Terjemahan: Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan.
Kedua: Pembacaan atau perolehan ilmu, terutama yang duhasilkan melalui pembacaan tidak seharusnya dijadikan laluan bagi menonjolkan diri, sombong dan takbur, sebaliknya hendaklah diterima dengan bersyukur kepada Allah yang memberi ilmu.
خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ * 
 [2] Dia menciptakan manusia dari segumpal darah beku; 
Allah menciptakan manusia dari `alaqatau segumpal darah beku yang bergantung di jidar rahim. Sebelumnya Dia menjadikan darah itu daripada air mani yang jijik, kemudian dimuliakannya sehingga dilebihkan atas banyak makhluknya yang lain. Aneh sungguh peralihan demi peralihan yang berlaku pada makhluk yang bernama manusia ini, asalnya daripada air mani yang jijik berpindah kepada segumpal darah beku kemudian menjadi manusia yang sempurna akal dan dapat berjalan atas dua kaki.
Pengetahuan yang sedikit saja tentang manusia sudah cukup untuk memahami keajaiban makhluk manusia kerana selepas beberapa peralihan pada kejadian manusia, terbinalah kemudiannya sebuah tamadun Islam yang berasaskan tulisan dan bacaan dengan nama Allah.
Mungkin bagi tujuan pembinaan tamadun yang berasaskan ilmu, maka ayat-ayat pertama dari surah ini manyuruh Nabi membaca dengan nama Allah yang menciptakan manusia daripada segumpal darah beku.
اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ 
            [3] Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; 
Nabi sekali lagi diperintah membaca. Mufassirin berpendapat, pembacaan kedua ini berbeza dengan pembacaan pertama. Pembacaan kedua ditujukan kepada orang ramai, sedangkan pembacaan pertama hanya Nabi sahaja. Ada yang berpendapat kedua-dua perintah ini ditujukan kepada Nabi saw. Perintah itu diulangi bagi maksud memperkukuhkan perintah membaca. Pendapat kedua ini lebih mantap kerana tiada dalil menunjukkan ada perbezaan di antara dua perintah membaca.
Ayat ini merangsang manusia supaya membaca, Allah berjanji untuk meberi pulangan yang sebaik-baiknya kepada mereka yang membaca dengan namanya.. Dalam ungkapan harian, kita diperintah menyebut segala puji bagi Allah setelah selesai merasai sesuatu ni`mat. Ucapan ini sangat sesuai kerana Allah Maha Pemberi rezeki dan Dia yang menganugrahkan ni`mat itu keada manusia. Ucapan yang sama juga sesuai dengan orang yang bersabar tatkala menghadapi ujian yang berupa mala petaka kerana Allah Maha Pemberi, Dia menimpakan ujian ke atas hamba-Nya dan Dia juga yang menyelamatkan. Atas pengertian ini kita boleh faham ayat di atas yang membawa terjemahan: Bacalah dengan nama Tuhan yang mendidik, kita akan menerima hasil didikan-Nya yang sangat istimewa.
Sungguh agung nikmat anugrah Allah kepada kita, tetapi sayang semakin banyak nikmat diterima manusia, semakin bertamabah pula kekufuran dan kesombongan. Bagi maksud supaya manusia tidak menjadikan ilmu sebagai jalan menyombongkan diri, menindas dan merosak, Allah mengingatkan mereka kepada satu kenyataan iaitu biarpun manusia mencapai tahap kemajuan yang tinggi, cemerlang dalam akademik, berkedudukan tinggi dalam masyarakat, namun dia tidak harus lupakan Allah, dia hendaklah bersyukur kepada-Nya. Bukankah manusia dahulunya tidak mengetahui apa-apa dan tidak akan mengetahui jika tidak diajar Allah kepadanya.
(4) Antara tanda kemurahan Allah ialah mengajar manusia melalui pena. Pena hanya alat untuk mengajar manusia menulis dan membaca.
الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; 
Pena begitu murah harganya, ia boleh dibuat daripada ranting kayu, bahkan barang-barang buangan, tetapi aneh melaluinya ilmu dan makrifat boleh disebar luaskan, dengannya pintu ilmu dan pengetahuan boleh dibuka. Inilah pena yang telah meninggalkan hasilnya yang mencelikkan mata generasi demi generasi. Inilah pena yang mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya, lalu dipelajari dikaji dan diteliti oleh generasi umat yang datang silih berganti.
Manusia adalah makhluk yang maju dan sentiasa mara ke hadapan dengan warisan yang ditinggal oleh ribuan generasi yang telah pergi, mereka meninggalkan hasil fikiran mereka yang masih hidup meskipun badan mereka telah hancur.
 (5) Biarpun manusia sudah berilmu dan tinggi melangit ilmunya, mereka tidak harus lupakan zaman silam, mereka jahil dan tidak mengerti apa-apa sebelum ini. Mereka berpengetahuan setelah melalui proses pencelikan huruf, kemudian maju setapak demi setapak. Siapakah yang mengajar mereka ilmu dan membasmi kejahilan yang menutup hati dan fikiran mereka?
عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ *
 Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.
Ayat-ayat (4) dan (5) ini menambahkan lagi jawapan balas kepada Nabi yang mengaku tidak pandai membaca dengan mengemukakan dua hujah:
Pertama: Allah mengajar manusia dengan pena,
Kedua:Allah mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.
Pembelajaran manusia dengan qalam(pena) membawa dua erti: Pertama, melatih mereka kemahiran menulis dan keupayaan mencatat sejarah manusia, pengetahuan, budaya dan tamadun mereka. Kedua, mengajar mereka semua pengetahuan melalui qalam (pena) dan tulisan. Apa pun erti pengajaran dengan qalam di sini dianggap besar signifikannya dalam pembentukan tamadun dan budaya hidup manusia.
Manusia kini mengetahui sesuatu, pada hal sebelumnya mereka tidak mengetahui apa-apa. Dengan itu mereka perlu bersyukur dan bersikap merendahkan diri mereka kepada Allah yang memberi ilmu kepada mereka, mereka tidak harus sombong dengan ilmunya, kerana ilmu adalah lautan yang tidak bertepi, permukaannya luas, dasranya sangatlah dalam, tiada manusia pernah menjejaki darsarannya. 
Tidak ada komentar:
Posting Komentar